Tuesday, June 26, 2007

Publikasi Muslim Nias hingga ke Malaysia

Kunjungan ketua YPMN, H.M. Yusuf Sisus beberapa bulan yang lalu ke Brunei dan Malaysia ternyata mendapat perhatian serius dari seorang wartawan Malaysia dari surat kabar Utusan Malaysia bernama Mohammad Saeful Mohd Ishak (pada foto di samping).

Berita dan informasi tentang kondisi ummat Islam di Nias pasca gempa telah dimuat dalam surat kabar tersebut dengan judul "KEPULAUAN NIAS RAYU BANTUAN" (=Kepulauan Nias memohon Bantuan). Artikel selengkapnya dapat dibaca dibawah ini atau dapat juga membuka langsung ke website Utusan Malaysia.



Kepulauan Nias Rayu Bantuan


Oleh: MOHD. SAIFUL MOHD SAHAK

Allah s.w.t berfirman: Dan tolong menolong di antara kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran. (al-Maidah: 2).

Dua tahun sudah berlalu, sejak gempa bumi yang berlaku pada 28 Mac 2005 di Kepulauan Nias. Banyak masjid yang besar telah ranap dan runtuh. Masjid Al-Furqan di Pasar Gunung Sitoli, Masjid Agung di Desa Mudik, Masjid Al-Falah di Tohiya kini dalam proses untuk dibangunkan semula.

Disebabkan tiada dana dan sumber kewangan, ia menyukarkan umat Islam untuk mendirikan semula masjid-masjid itu. Walaupun kerajaan Indonesia memainkan peranan penting seperti memulihkan semula dan memperbaiki infrastruktur kemudahan seperti jalan, sumber saluran air bersih dan mendirikan semula rumah rakyat.
Namun itu semua masih tidak dapat memenuhi dalam membantu dengan jumlah penduduk yang terlalu ramai.

Banyak perkara perlu diselaraskan dalam membaiki semula sistem pengurusan dan pembangunan masjid. Walaupun berhadapan masalah, Indonesia tabah dalam menghadapi ujian Allah s.w.t.

Atas dasar itu, penduduk Islam di Kepulauan Nias sangat memahami betapa besarnya beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Indonesia dalam menghadapi musibah yang datang silih berganti.

Musibah tsunami di Aceh dan Pangandaran Jawa Barat, gempa bumi di Nias dan Yogya, tanah runtuh di Sumatera Barat, banjir di Jakarta dan sekarang banjir lumpur di Lapindo, Jawa Timur.

Oleh itu, Yayasan Peduli Muslim Nias (YPMN) mengharapkan sumbangan dan bantuan umat Islam di seluruh dunia termasuk dari Malaysia bagi membangunkan semula masjid dan surau yang runtuh kerana jumlah kerosakan itu memerlukan dana yang sangat besar.
(YPMN) telah ditubuhkan pada 6 Oktober 2006. Yayasan ini lahir atas keprihatinan nasib umat Islam di Kepulauan Nias selepas kejadian tsunami pada 26 Disember 2004 dan gempa bumi baru-baru ini. Ia didirikan oleh Komuniti Masyarakat Muslim Nias di Jakarta.

Menurut Ketua YPMN, Muhammad Yusuf Sisus, yayasan ini merupakan saluran bagi umat Islam di Kepulauan Nias dalam menyampaikan suara hati mereka kepada masyarakat antarabangsa.
Katanya, jumlah umat Islam di sini mencatatkan 31,227 atau 4.47% dari seluruh penduduk Nias yang berjumlah 700,000 orang. Sebahagian besar pekerjaan umat Islam di sini adalah menjadi nelayan, petani, berniaga.

“Memandangkan kekuatan ekonomi umat Islam di Nias tidak begitu baik dan kini lemah, maka timbul idea mencari sumber kewangan daripada penderma-penderma yang budiman dalam menyumbangkan sebahagian harta mereka untuk membantu kedaifan masyarakat di sini,” katanya.

Yayasan itu juga antara lain bertujuan menguruskan bantuan yang diterima secara sistematik. Dalam pada itu, YPMN sedang menghimpun dana berupa bantuan zakat dan sedekah bagi memulihkan kembali kehidupan masyarakat yang dilanda kesengsaraan ini.
“YPMN lebih memusatkan aktiviti kebajikan yang dilakukan pada pembangunan masjid dan surau yang rosak,” jelas Muhammad Yusuf.

Bagi yang ingin membantu dalam menyalurkan zakat, infak dan sedekah boleh disumbangkan melalui Bank Mandiri Cabang Gedung Jamsostek Jakarta, Indonesia di atas nama Yayasan Peduli Muslim Nias (070-00-00477855-6) atau menghubungi Yosman Amiruddin di Kedutaan Besar Rakyat Indonesia di Malaysia menerusi talian 012-351 0327.

Info Kepulauan Nias:
*Kepulauan Nias terletak di Samudera Indonesia , sebelah Barat Sumatera. Perjalanan dari Bandar Polonia Medan menuju ke Bandar Binaka di Nias mengambil masa selama satu jam perjalanan menaiki kapal terbang manakala menaiki kapal laut mengambil masa selama 10 jam.

*Lokasi Kepulauan Nias terletak di pedalaman. Kepulauan ini jarang diketahui oleh masyarakat dunia luar. Kejadian gempa bumi yang berlaku selain daripada kemalangan jiwa, kehilangan ahli keluarga, dan luka parah, mereka juga kerugian harta benda.

*Sebahagian masjid, surau mengalami kerosakan yang dahsyat akibat gempa bumi. Akibat kejadian tersebut, sebanyak 50 peratus daripada 154 masjid di Kepulauan Nias rosak. Daripada jumlah itu, 32 buah masjid runtuh dan musnah.